KEMUNCULAN Raja Noor Jan Shah Raja Tuah, 48, minggu lalu yang mendakwa sebagai Sultan Melaka ke-44 selepas Melaka kehilangan sultan selama 477 tahun telah mendapat reaksi luar biasa daripada pelbagai peringkat sekali gus rentetan beritanya terus diikuti ramai untuk mengetahui kesudahan misterinya kelak. Tentu ada keistimewaan dan misteri tersendiri yang belum terungkap di sebalik kemunculan Raja Noor Jan Shah sehingga begitu ramai terpengaruh untuk menghadiri setiap majlis diraja anjurannya yang menyerupai istiadat raja sebenar.
Anehnya mereka yang datang itu bukan sekadar rakyat jelata, malah golongan kenamaan dan berpendidikan tinggi dari segenap lapisan keturunan Melayu. Antara majlis terbaru yang diadakan itu telah berlangsung di Dewan Komuniti Taman Melati, Gombak, Kuala Lumpur pada Ahad, 13 November lalu. Majlis dengan laungan `daulat tuanku' yang dipenuhi warna serba kuning diraja seperti balairong seri itu dinamakan `Istiadat Penganugerahan Watikah Gelar Adat Kali Pertama Tahun 2005 Setelah 477 Tahun Tidak Dapat Dijalankan Kerana Raja Yang Hilang Tidak Dapat Dicari Dan kini Muncul Kembali.'
Pada istiadat tersebut Raja Noor Jan Shah menggunakan gelaran Sultan Ahmad Shah sebagai mengambil sempena nama `Sultan Ahmad Shah' Melaka Ke-9 (1516-1528) sepatutnya bertakhta, tetapi mangkat di Bentan itu ialah anak kepada sultan terakhir Melaka yang bertakhta, Sultan Mahmud Shah (1488-1511). Raja Noor Jan Shah dengan profesion sebagai ahli perniagaan itu diputerakan di Teluk Perang, Perak dalam tahun 1957 kemudiannya merantau ke seluruh tanah air berusaha mencari salasilah waris kesultanan Melaka sebelum menetap di Gombak, Kuala Lumpur hingga sekarang.
Persoalan mengenai istiadat Raja Noor Jan Shah di Taman Melati itu mengapa menjadi luar biasa dan boleh mempengaruhi orang untuk datang beramai-ramai seperti tarikan besi berani? Apakah ini menandakan bahawa Raja Noor Jan Shah memang pewaris kesultanan Melaka yang berdaulat dan layak menduduki takhta sekali gus bakal mencipta sejarah negara sehingga negeri Melaka kembali bersultan secara rasmi?
Berikutan penyiaran berita dan gambar istiadat yang dilakukan oleh Raja Noor Jan Shah itu di Utusan Malaysia pada 15 November lalu juga telah menimbulkan pelbagai reaksi pro dan kontra sehingga menjadi isu serius! Ada pihak yang termenung untuk mencari kebenaran dan saranan membuat kajian ilmiah bagi mencari kesudahan dakwaan Raja Noor Jan Shah itu. Tidak kurang juga yang mencemuh dengan penuh emosi.
Bagaimanapun Raja Noor Jan Shah yang membahasakan dirinya sebagai `Pak Ungku' dengan rendah hati itu bersedia membuktikan dirinya sebagai raja yang berhak untuk menuntut takhta kerana mempunyai salasilah keturunan bernasab dilengkapi dengan peralatan kebesaran yang didakwa dari warisan asli kesultanan Melaka. ``Pak Ungku tak kisah dan tak marah dengan apa saja orang mahu kata kepada Pak Ungku yang menuntut takhta sebagai Sultan Melaka ke-44 yang sah kerana Pak Ungku memang berdarah raja. ``Perkara ini adalah sesuatu yang serius dan mempunyai bukti yang kukuh sehingga Pak Ungku berani membuat tuntutan harta. Mana boleh buat tuntutan kalau bukan yang berhak dan tidak cukup syarat,'' katanya dalam temu ramah dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Raja Noor Jan Shah tetap berkeyakinan penuh bahawa tuntutannya itu akan menjadi kenyataan meskipun berhadapan dengan pelbagai proses perundangan yang getir. ``Pak Ungku tuntut takhta itu adalah secara sedar kerana Allah demi kedaulatan agama, bangsa dan negara. Usaha Pak Ungku ini bukan dibuat secara tiba-tiba tetapi telah menjalani proses getir selama 17 tahun menyusun salasilah keturunan bernasab secara tertib dengan sokongan fakta ilmiah bermula dari Sultan Melaka Pertama, Raja Parameswara Iskandar Shah (1392-1414). ``Tidak memadai dengan itu Pak Ungku sendiri bersama Pawang Diraja dan Datuk Setia Panglima Raja Melaka telah berjuang bermati-matian penuh halangan misteri tanpa mengira hujan lebat ribut petir membelah bumi selama tiga setengah tahun dalam proses untuk mengeluarkan peralatan kebesaran asli kesultanan Melaka dari alam ghaib di perut bumi keramat Pulau Besar, Melaka yang tidak terjangkau oleh pemikiran biasa melainkan individu yang mengalaminya,'' ceritanya.
Tambahnya, tanpa peralatan kebesaran itu tidak sesiapa berhak untuk menuntut kembali takhta kesultanan Melaka yang berdaulat. Alat-alat kebesaran diraja yang berjaya diambil dari perut bumi itu ialah keris disandang, keris tersisip di pinggang, anak keris perak emas, pending emas perak diraja, sepasang bunga hati kiri dan kanan, sekuntum bunga mawar berbatu jed biru hijau hadiah daripada Maharaja China zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, Melaka ke-6 (1458-1477), sepasang burung merak pipit di atas belakang destar. Selain itu barang-barang kebesaran permaisuri tuanku seperti mahkota dan kalung sebagai alat kebesaran Kesultanan Melaka sebenar.
Bagi sesiapa yang menghadiri majlis istiadat gilang-gemilang penganugerahan watikah kepada lebih 100 para pembesar istana Melaka di Dewan Komuniti Taman Melati tempoh hari pasti terpukau dengan bacaan salasilah keturunan bernasab Raja Noor Jan Shah yang disusun indah oleh guru sejarah Datuk Ab. Latiff Daud yang menjalankan tugas-tugas khas diraja Melaka. Hadirin yang penuh sesak bagaikan hening cipta bukan kerana terpukau mendengar penglipurlara, tetapi amat terharu menghayati rentetan sejarah nyata berfakta yang seolah-olah Melaka akan segera kembali bersultan jika mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan kerajaan kerana raja kita adalah Raja Berperlembagaan.
Di hujung temu bual itu Raja Noor Jan Shah mengajak semua pihak dari peringkat atasan sehingga rakyat jelata merenung apakah hikmah di sebalik akan berlangsungnya Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu Ke-204 di Melaka pada 21-24 November ini serta kata-kata keramat hulubalang Hang Tuah: `Tak Melayu hilang di dunia' dan kaitannya dengan kedaulatan raja Melayu yang perlu dipulihara.
Sunday, July 8, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Melayu memang tak akan hilang didunia. Dengan kita mengiktiraf India Muslim (sepwerti Menteri di Jabatan Perdana Menteri tu) sebagai Melayu, bererti 200 juta India Muslim telah diwatikahkan menjadi Melayu. Dengan kita mewartakan bahawa Arab (spt mantan Menteri Dalam Negeri)sebagai Melayu maka 100 juta umat Arab sudah menjadi Melayu. Dicampur pula dengan 200 juta Jawa, jumlah umat Melayu didunia hari ini mencakupi setengah bilion. Bukan mudah nak hilangkan setengah bilion insan. Memang... melayu tak kan hilang di dunia ni.
Post a Comment