Thursday, January 22, 2009
Mak Che Menjalara
Sebagai menjawab pertanyaan seorang pengunjung tentang Mak Che Menjalara, maka di sini saya perturunkan sedikit maklumat yang saya perolehi dari sumber dari pihak Thai/Siam.
Sebelum kita pergi lebih detail tentang Mak Che Menjalara, apa kata kita lihat dulu siapa lagi antara isteri Paduka Sultan yang berasal dari Siam. Ramai antara kita (termasuk orang Siam di Kedah) hanya tahu Mak Che Menjalara saja, atau sekurang-kurangnya seorang lagi iaitu Mak Che Sepancadara. Pada hal ada tiga orang lagi isteri Paduka Sultan yang merupakan wanita dari Siam.
Kebanyakan mereka adalah pelakon Lakorn (drama pentas) dari Kumpulan Lakorn Sri Nag dan Kumpulan Lakorn Chaiya yang sering membuat persembahan dalam istana. Tentu mereka ini cantik-cantik, kalau tak cantik tentu tidak diambil menjadi pelakon Lakorn yang mana sama standardnya dengan artis drama atau filem pada zaman ini.
Antara mereka (Isteri Paduka Sultan) yang diketahui termasuk:
1. Thiab (Sepenchandara) - Ada tiga orang putera/puteri dengan Paduka Sultan.
2. Neang (Menjalara) - Lapan anak (anataranya, Tunku)
3. Choi - Lima anak
4. Sirik - Tujuh anak
5. Phuang - Satu anak
Kalau kita lihat pada jumlah anak-anak daripada lima ibu ini, (24 orang) sudah tentu pada masa sekarang ini sudah bercambah entah berapa ramai cucu cicit keturunan Siam di Kedah. Tapi sangat sukar dikesan sebab semua sudah jadi Melayu.
Namun ada juga anak-anak dari ibu Siam ini yang dikenang, terutama dari ibu Thiab dan Ibu Neang. Ibu Thiab (Sepenchandara) merupakan pelakon Lakorn dari Kumpulan Chaiya, tempat tinggal di Soi Watt Bhupharam, Thonburee. Sebelum menjadi isteri Sultan, beliau datang ke Kedah bersama bapanya. Apabila sultan melihat lalu tertarik lalu diambil jadi isteri.
Anak-anak Ibu Thiab termasuk:
1. Tengku Ibrahim
2. Tengku Baricha (sebutan mengikut tulisan Siam, sebutan yang betul dalam bahasa Melayu semua orang tahu)
3. Puteri ( maklumat tidak diketahui)
Manakala Ibu Neang (Menjalara) pula berasal dari keturunan (keluarga) Nontanakorn. Siapa yang kata beliau adalah puteri Rama V adalah bohong belaka. Bapa beliau bernama Narabrirak (Kleb) yang merupakan gabenor Nonthaburee, ibunya bernama Im. Kediaman mereka ialah di Jalan Woracak, Krungthep (Bangkok). Mereka mempunyai pertalian keluarga dengan keturunan Panyarachoon. (Anan Panyarachoon merupakan bekas perdana menteri Thailand).
Salasilah Mak Che Menjalara ini ialah dari Chao Phraya Maha Yotha yang berketurunan Mon dan pernah menjadi raja Mataban tapi melarikan diri dan menetap di negara Siam.
Neang dan adiknya Nid (Menajawangi) datang menetap di Kedah sejak remaja lagi dan dijadikan anak angkat oleh Tengku Halimah, adinda kpd Sultan Ahmad Tajuddin Al Mukaram Shah. Setelah berusia 19 tahun baru dperisterikan oleh sultan (isteri ke enam)
(Jadi, kalau kata ada orang Siam datang berombongan menghantar Mak Che Menjalara adalah tidak tepat). Orang Siam yang ada di Kedah semuanya hidup di Kampung-kampung dan telah menetap di situ sebelum kedatangan Mak Che Menjalara lagi. Lagi pun, kalau orang Siam yang ada di Kedah hari ini merupakan rombongan menghantar isteri Sultan sudah tentu mereka ini akrab dengan pihak istana, tetapi tidak berlaku seperti itu.
Ibu Neang beroleh 12 orang anak dengan Paduka Sultan, tetapi hanya 8 orang yang hidup, antaranya ialah Tunku Abdul Rahman.
Anak-anak yang lain termasuk:
-Tengku Yussuf
-Tengku Kalsom
-Tengku Jiwa
-Tengku Baharom
-Tengku Aminah
-Tengku Dakiah
-Tengku Habsah
Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya ingin ceritakan dua peristiwa bohong yang melibatkan Mak Che Menjalara. (berapa kali dia bohong kat Sultan tak dapat dipastikan)
Bohong pertama yang diketahui, (TAR turut mengakui) ialah di mana pada satu ketika seorang pegawai telah pecah amanah dan sultan amat murka dan menjatuhi hukuman bunuh. Manakala anak-anak dan isteri pegawai itu pula dijatuhi hukuman potong ibu jari. Lalu isteri pesalah itu datang merayu kepada Ibu Neang mohon simpati.
Ibu Neang hanyalah isteri ke enam, mana ada kuasa mengampun orang. Lalu Ibu Neang bohong kepada sultan bahawa dia mengandung. Menjadi kepercayaan orang Siam, ketika isteri mengandung suami ditegah membuat perkara seperti mengail ikan (bimbang anak yang lahir nanti sumbing mulutnya), inikan pula nak bunuh orang dan potong jari orang. Lalu sultan pun tidak jadi jatuhi hukuman bunuh, cuma penjara saja. Manakala anak dan isteri pesalah tidak di apa-apakan.
Bohong yang kedua ialah, selepas ibu Mak Che Menjalara di Siam mati, beliau memohon sultan membina sebuah Watt (kuil Buddha) kerana menurut beliau apabila ibu meninggal dunia, sebuah Watt hendaklah dibina untuk menyumbang pahala kepada ibunya. Lalu Sultan pun membina sebuah Watt di Lorong Bakar Bata yang masih ada sampai hari ini.
Tak dapat dibayangkan apa akan berlaku kalau peristiwa itu belaku pada zaman sekarang iaitu di zaman orang Melayu semakin tinggi ilmu Islamnya. Yang sebenarnya orang Melayu dan Siam adalah bersaudara pada masa dahulu, sekarang ini pertalian persaudaraan semakin menjarak, kemungkinan sudah putus terus dan tidak dapat dikesan lebih-lebih lagi orang Melayu sekarang ada bermacam-macam bangsa dan asal-usul, bukan lagi dari keturunan Siam, tak kiralah Siam Islam atau Siam Kapir.
Gambar di atas bukanlah gambar Mak Che Menjalara, tapi merupakan gambar Riam, bekas ratu cantik Siam yang diambil jadi isteri oleh sultan Perlis.
Saturday, January 3, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)